Rabu, 25 November 2009

CONTOH JAWAPAN PSV KERTAS 2

SOALAN 4
i.
ii.

SOALAN 5
i.
ii.

KATA KUNCI SOALAN

Peringatan kepada calon PSV 2611/2. Baca dan fahami soalan betul-betul. Ilustrasi anda mestilah menjawab kehendak soalan. Oleh itu anda mestilah mengatahui kata kunci atau kehendak soalan. Antaranya ialah lukisan dari jarak dekat, suasana, situasi dan unsur seni seperti jalinan, bentuk, ruang, warna dan perspektif.

Apa yang dikehendaki oleh soalan apabila meminta anda melukis dari jarak dekat ialah anda dikehendaki melukis dengan jelas objek yang dikehendaki sehingga jelas kelihatan kesan jalinan pada objek tersebut. Unsur ruang juga perlu diberi penekanan. Apa yang dikehendaki pada unsur ruang ialah anda dapat mewujudkan ruang iaitu ruang hadapan, tengah dan belakang. Unsur ruang dapat diwujudkan dengan menggunakan garisan perspektif dan warna, iaitu objek di hadapan lebih besar daripada objek di belakang manakala warna bahagian hadapan hendaklah lebih jelas berbanding ruang belakang.

Selasa, 24 November 2009

CONTOH ILUSTRASI SOALAN PSV 2611/2

SOALAN 2
i.
ii.
SOALAN 6
i.
ii.

Ahad, 22 November 2009

SOALAN PSV 2611/2 2009

Jawab satu soalan sahaja.

1. Anda begitu terkejut kerana buah tembikai yang anda beli telah berubah menjadi sebuah rumah yang didiami oleh biji-biji tembikai yang mempunyai kaki dan tangan. Lukis dari jarak dekat buah tembikai tersebut dengan memberi penekanan kepada unsur jalinan, bentuk, ruang dan perspektif.

2. Sebuah tunggul kelapa di tepi pantai ditumbuhi pokok orkid yang sedang berbubga. Lukis dari jarak dekat tunggul kelapa dan pokok orkid dengan berlatarbelakangkan pantai dan laut. Penekanan hendaklah diberikan kepada unsur jalinan, bentuk, warna dan ruang.

3. Seorang budak lelaki sedang menyikat rambut seorang perempuan tua di dalam sebuah bilik. Perempuan tua itu duduk di atas kerusi yang menghadap tingkap sambil menatap wajah pada cermin yang dipegangnya. Lukis suasana tersebut dengan memberi penekanan kepada kesan ruang, jalinan dan warna.

4. Beberapa orang pelajar sedang memerhatikan pelbagai jenis ikan di dalam sebuah terowong akuarium. Lukis situasi tersebut dengan memberi penekanan kepada unsur jalinan, ruang, perspektif dan pengcahayaan.

5. Anda telah menyertai perkhemahan Pasukan Pengakap sekolah anda di sebuah hutan rekreasi. Semasa perkhemahan tersebut, jerebu melanda kawasan perkhemahan anda. Ketika itu juga, cahaya matahari menjadi kekuning-kuningan, manakala pokok-pokok di persekitaran tidak jelas kelihatan kecuali khemah anda. Gambarkan situasi tersebut dalam lukisan anda. Lukisan tersebut hendaklah memberikan penekanan kepada unsur jalinan, ruang, warna dan pengcahayaan.

6. Seekor rusa sedang minum air di sebuah tasik. Di sekitar tasik ditumbuhi pokok-pokok renek. Lukis situasi tersebut dengan memberi penekanan kepada unsur ruang, bentuk, dan jalinan.

Ahad, 8 November 2009

ALAT-ALAT YANG SERING DISOAL


1.Pisau Wali - untuk meraut dalam kerja ukiran.

2.Tukul Kayu - untuk mengetuk pahat dalam kerja ukiran.

3.Penggelek - untuk menggelek tanah dalam kerja terbikar.

4.Jangka - untuk membelah daun pandan/mengkuang dalam kerja anyaman.

5.Canting - untuk menerap lilin ke atas kain dalam kerja batik.

6.Dawai pemotong - untuk memotong tanah bagi membuang udara dalam kerja tembikar.

7.Cuban - untuk membelit benang dalam kerja tekat.

8.Pahat ukir - untuk membentuk kayu dalam kerja ukiran.

9.Sekuji - untuk meratakan dye dalam kerja cetakan silk screen.

10.Blok batik - untuk mengecap corak dalam kerja batik.

Selasa, 13 Oktober 2009

3 DIMENSI

ILUSTRASI 3D







1. Gambar rajah di atas menunjukkan beberapa pergerakan garisan. Antara berikut garisan yang manakah menunjukkan ilistrasi 3 dimensi?

Jawapan : B

Ahad, 4 Oktober 2009

SOALAN TENTANG ARCA

1. Antara arca di bawah, yang manakah dikategorikan sebagai arca mobail?



A-I
B-II
C-III

2. Apakah jenis arca seperti dalam rajah di atas?
A-Arca estetika
B-Arca mobail
C-Arca luakan
D-Arca berfungsi

3. Apakah fungsi arca di atas dalam kehidupan masyarakat Orang Asli di negara kita?
A-sebagai bahan perhiasan
B-sebagai cenderamata
C-sebagai bahan pemujaan
D-sebagai bahan jualan


Jawapan:1-C, 2-D, 3-C

Isnin, 14 September 2009

RUANG DAN WARNA


Ruang ialah jarak antara sesuatu benda.Ada ruang nyata dan ruang ilusi. Ruang nyata ialah ruang sebenar di sekeliling kita manakala ruang ilusi ialah ruang yang terdapat pada lukisan, catan, foto, ilustrasi dan sebagainya yang bukan nyata. Ruang ilusi dapat diwujudkan dengan beberapa cara iaitu melalui penggunaan jarak sesuatu objek, saiz objek, dan warna. Semakin kecil objek menunjukkan objek itu semakin jauh begitu juga dengan warna semakin muda warna menubjukkan objek itu semakin jauh.

Cuba lihat gambar di atas dengan teliti, tentu anda sudah biasa lihat gambar ini di dalam komputer anda. Gambar di atas jelas menunjukkan penggunaan warna digunakan untuk menunjukkan ruang. Dari segi warna pula gambar ini menggunakan warna sewarna iaitu berasaskan warna biru sahaja.

SPM tahun lepas ada mengemukakan soalan yang berkaitan dengan dengan gambar seperti gambar diatas.

Apakah jenis gubahan warna yang digunakan dalam ilustrasi di atas?

A. Tertier
B. Sewarna
C. Sekunder
D. Penggenap

Khamis, 10 September 2009

GARISAN, RUPA DAN BENTUK

Selasa, 8 September 2009

CONTOH SOALAN SPM 2611/1

Soalan 1 dan 2 berdasarkan jawapan di bawah.

A. Kolaj
B. Impasto
C. Semburan
D. Basah atas basah

1. Teknik yang manakah merupakan teknik cat air?

2. Catan yang manakah menggunakan pisau palette?

3. Kesan ton boleh dihasilkan melalui teknik...
I -membuat garisan
II-menggunakan titik
III-membuat larik
IV-membuat ilusi

A. I sahaja
B. I dan II
C. I, II dan III
D. Semua di atas

4. Antara pernyataan berikut, yang manakah tidak benar tentang warna?

A. merah, biru dan kuning adalah warna asas
B. warna sekunder adalah campuran dua warna asas
C. warna tertier adalah campuran tiga warna asas
D. warna sewarna ialah penggunaan satu warna dalam beberapa ton

5. Antara yang berikut, manakah benar tentang ton?

I- penggunaan ton dalam catan memberi kesan ruang
II- kesan sapuan berus dapat memberikan nilai ton
III- hitam digunakan untuk mendapatkan nilai ton yang gelap
Iv- warna pelangi merupakan nilai ton yang sesuai

A. I dan II
B. I dan III
C. II dan III
D. III dan IV

Jawapan: 1-D,2-B,3-B,4-C,5-B

Rabu, 2 September 2009

UKIRAN TEBUK TEMBUS


Kepada bakalcikgu yang bertanya soalan di sembang-sembang seni.
Ukiran di atas merupakan contoh yang pelajar saya buat untuk Kerja Kursus KRSV 2611/3 yang lepas. Antara alat dan bahan yang diguna untuk ukiran di atas ialah gerudi,gergaji jig, pisau pemotong, kertas pasir, syelek dan lekar.

Selasa, 1 September 2009

BUKU ANYAMAN DAN BATIK TULIS


Buku Anyaman - Pandan dan Mengkuang ini diterbitkan pada tahun 1989 dan buku Batik Tulis - Sistem Pengeluara dan Teknik-teknin Pembuatan pula diterbitkan pada tahun 1993 oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia. Kepada pelajar yang sedang mencari bahan untuk anyaman dan batik bolehlah dapatkan/pinjam buku ini di mana-mana perpustakaan. Buku ini saya beli pada harga RM3 sebuah semasa Pameran Buku Antarabangsa di PWTC tiga tahun lalu.

Jumaat, 28 Ogos 2009

SOALAN KLON SPM PSV 2611/1 WARNA


Bagi menjawab soalan tentang warna pelajar mestilah mengingati warna pada RODA WARNA. WARNA PENGGENAP ialah warna yang bertentangan dalan RODA WARNA diguna untuk memberi penegasan.

Rabu, 19 Ogos 2009

PAKAIAN DAN KENDERAAN

BAJU KURUNG

PAKAIAN TRADISIONAL

PERHIASAN KEPALA

KENDERAAN DARAT

Sila klik pada gambar untuk besarkan.

Selasa, 14 Julai 2009

TENUNAN

F. TENUNAN
1. PENGENALAN
a) Tenunan ialah proses menjalin helaian benang sehingga menjadi sebidang kain.
b) Tenunan songket terkenal di pantai timur manakala tenunan pua terkenal di sabah dan sarawak
c) Tenunan dipercayai bermula di Kelantan (1610 – 77) sebagai perusahaan kecil di Kg. Penambang dan Kg. Laut.
d) Tenunan di Kelantan dan Terengganu banyak menggunakan benang emas dan perak manakala di Pahang menggunakan benang sutera.

2. TENUNAN SONGKET
a) Songket berasal daripada perkataan ‘sungkit’ iaitu kegiatan menyungkit dengan lidi buluh dan nibung.
b) Pada masa dahulu songket ditenum dengan benang sutera dan kini ia ditenum dengan benang kapas atau kedua-duanya sekali.
c) Kain songket dipakai oleh golongan bangsawan dan pakaian diraja pada majlis rasmi.
d) Bahan yang biasa diguna ialah benang loseng yang berfungsi sebagai kain dasar dan benang pakan sebagai benang sisip untuk membentuk motif.
e) Alatan untuk membuat songket ialah jentera, cuban, belira, torak, loseng, peleting, sumbi, rahak, kek tangan dan kek kaki.
f) Motif yang biasa diguna ialah motif flora, fauna, geometri, makanan, benda, dan awan larat.
g) Proses tenunan songket:
i. Mewarna benang dengan bahan pewarna asli seperti kunyit
ii. Menerai benang iaitu memasukkan benang ke dalam rahak untuk diputar pada peleting
iii. Menganing iaitu proses menyusun dan menentukan ukuran benang
iv. Menggulung benang ke papan gulung yang dipanggil benang loseng
v. Menyampuk iaitu memasukkan benang loseng ke gigi jentera
vi. Mengarat iaitu proses pembentukkan dua lapisan benang loseng
vii. Menyolek dilakukan dengan menyusun lidi buluh untuk membentuk motif
viii. Menenum dilakukan dengan alat yang dipanggil kek iaitu proses menyilang benang loseng dan benang pakan sehingga menjadi kain

3. TENUNAN PUA / PUA KUMBU
a) Popular di kalangan kaum Iban di sarawak
b) Diguna sebagai kain dastar (tengkolok), hiasan kepala atau pakaian lengkap ketika upacara tertentu
c) Menggunakan warna cerah seperti merah, kuning, biru, ungu dan latar hitam
d) Motif yang diguna ialah flora dan fauna serta geometri yang berunsur ritual
e) Menurut kepercayaan penenun mesti mendapat kebenaran nenek moyang terlebih dahulu sebelum menenum

Ahad, 12 Julai 2009

BATIK

E. BATIK
1. PENGENALAN
a. Batik ialah hasil kraf yang dihasilkan melalui proses menerap lilin dan mencelup kain
b. Batik terkenal di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunai
c. Ragam hias batik Malaysia dipengaruhi ragam hias batik Indonesia
d. Perusahaan batik di Malaysia bermula di Kelantan dan Terengganu

2. MOTIF-MOTIF BATIK
a. Motif flora – motif akar menjalar, buah pala, bunga raya, daun keladi, daun menjalar bunga teratai dll
b. Motif fauna – motif burung, ayam jantan, ayam betina, kala jengking, siput, rama-rama dll
c. Motif geometri – motif parang rosak, kisi-kisi, swastika, jalur, pilin berganda ‘S’ dll
d. Motif isen – motif ada-ada, centel, penutupan, sisik, mata dara, sabut kelapa dll

3. JENIS-JENIS BATIK
a. Batik tulis / lukis – menggunakan canting untuk menerap lilin
b. Batik terap / blok – menggunakan blok / sarang untuk menerap lilin
c. Batik skrin – menggunakan pemidang skrin dan sekuji
d. Batik pelangi – menggunakan teknik ikat dan celup, tidak menggunakan lilin
e. Batik pelbagai jenis – menggunakan pelbagai teknik

4. PROSES MEMBUAT BATIK
a. Batik tulis / lukis
Basuh kain putih -> regangkan pada pemidang kain -> buat lorekan corak dengan pensel -> panaskan campuran lilin,damar dan minyak kelapa -> cedok lilin dengan canting -> lukis ikut lakaran pensel -> warnakan -> keringkan -> sapu sodium silikat (untuk mematikan warna) -> biarkan 8 hingga 12 jam -> rebus kain dengan air panas campuran soda ash -> rendam dan basuh dengan air biasa keringkan

b. Batik terap / blok
Lukis lakaran motif -> buat blok ikut lakaran motif dengan kepingan logam -> basuh kain untuk hilangkan kanji -> bentangkan kain di atas meja pengecap -> panaskan lilin dalam kuali leper -> celup blok ke dalam lilin -> celupkan kain yang siap dicop ke dalam warna Naphtol -> rebus kain dalam campuran soda ash -> basuh dan jemur kain

c. Batik pelangi
Ikat kain dengan ikatan yang sesuai -> bancuh air dengan pewarna -> celup beberapa kali ke dalam pewarna -> cuci kain dan keringkan (untuk mendapat kesan beraneka warna, kain perlu diikat dan dicelup beberapa kali)

Selasa, 7 Julai 2009

TEKAT

D. TEKAT

1. PENDAHULUAN
- Seni tekat merupakan hiasan sulaman benang emas atau perak yang dijahit pada kain dasar baldu
- Seni tekat juga dipanggil tuji tumbul, suji timbulan, tekat bersuji dan tekatan.
- Barang yang biasanya di tekat ialah alas tempat tidur, muka kasut pengantin, kipas pengantin, baju pengantin, tudung saji, bekas barang kemas dan bekas perhiasan

2. CIRI-CIRI TEKAT
i. Baldu dan benang emas
ii. Sulam penuh
iii. Sulam pahat
iv. Tekat timbul benang emas dan perak
v. Tekat gubah ( tidak menggunakan mempulur )
vi. Tekat perada ( perada emas ditampal pada kain )

3. UNSUR DAN BENTUK MOTIF
i. Motif tumbuhan / flora
ii. Motif geometri ( bersudut )
iii. Motif burung / unggas
iv. Motif awan larat

4. ALAT DAN BAHAN
i. Cuban – untuk membulut benang emas / perak ( terdiri daripada cuban kayu, cuban buluh dan cuban kayu bercabang tiga )
ii. Jarum – untuk menjahit benang emas / perak
iii. Baldu – kain berbulu halus dan lembut
iv. Mempulur – isi tekatan yang dibuat daripada kertas keras
v. Benang emas dan perak
vi. Pemidang kayu – untuk meregangkan kain baldu

5. PROSES TEKATAN
Sediakan pemidang -> Regangkan kain putih di atas pemidang -> Letakkan kain baldu di atas kain putih -> Kedua-dua kain tersebut dicantum menggunakan jahitan sembat -> Letakkan mempulur di atas kain baldu -> Rentang benang emas di atas mempulur -> Jahit benang emas dengan benang putih -> Ulang proses ini hingga siap.

UKIRAN KAYU

C. UKIRAN KAYU

1. PENDAHULUAN
Ukiran kayu tradisional adalah hasil kreativiti orang Melayu yang masih lagi dapat dilihat pada seni bina istana, masjid, rumah, makam, kepala sampan, perabot serta barangan kegunaan harian.

Antara ukiran kayu yang masih dapat dilihat ialah:
i. Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak
ii. Istana Balai Besar, Kedah
iii. Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan
iv. Masjid Kampung Keling, Melaka
v. Masjid Kampung Laut, Kota Bharu, Kelantan

2. UNSUR CORAK UKIRAN TRADISIONAL
i. Unsur fauna – motif ayam berlaga, motif itik pulang petang, motif badak mudik
ii. Unsur flora – motif bunga raya, pucuk kacang, bunga melur, bunga ketumbit
iii. Unsur kosmos – motif awan telipuk, motif semayang, motif awan larat, matahari
iv. Unsur geometri – dibuat pada alang pintu, tebar layer, dinding
v. Unsur kaligrafi – berdasarkan tulisan Arab atau tilisan Jawi

3. JENIS-JENIS UKIRAN KAYU
i. Ukiran Layang – dibuat pada permukaan kayu
ii. Ukiran Bunga Timbul – dibuat pada papan, latar papan ditebuk
iii. Ukiran Tebuk Tembus – kayu atau papan ditebuk hingga tembus
iv. Ukiran Arca – berbentuk 3 dimensi seperti hulu keris & kukuran
v. Ukiran Larik – dibuat pada batang kayu yang berbentuk bulat

Isnin, 6 Julai 2009

ANYAMAN

B. ANYAMAN

1. PENGENALAN
Anyaman ialah proses menjalin atau menjaring helaian buluh, rotan, lidi, bertam,
mengkuang, pandan dan sebagainya. Antara contoh anyaman ialah tudung saji, bakul rotan, nyiru, bubu, lekar dan kampit.

2. ALAT YANG DIGUNA
i. Parang – untuk menetak pangkal daun
ii. Pisau – membuang empulur dan duri
iii. Pelurut – dibuat daripada buluh untuk melembutkan daun
iv. Tempayan – untuk merendam daun
v. Bekas besar – untuk mencuci
vi. Periuk – untuk merebus
vii. Dapur - diguna dalam proses mewarna
viii. Jangka – untuk membelah daun menjadi helaian yang dikehendaki
ix. Penyisip – untuk menyisip lebihan helaian daun supaya tidak terburai

3. PROSES MEMBUAT ANYAMAN
Ambil daun di waktu pagi / petang -> Potong bahagian pangkal -> Susun 3 – 5 helai -> Buang empulur -> Melayur daun di atas bara api -> Mengjangka daun -> Melurut daun -> Ikat menjadi tongkol -> Rendam dalam air biasa 2 hari 2 malam untuk melunturkan warna hijau daun ( air perlu ditukar 2 kali sehari ) -> Jemur hingga kering -> Proses mewarna -> Jemur semula -> Melurut daun sekali lagi -> Proses anyaman boleh dilakukan.

4. TEKNIK DAN PROSES ANYAMAN
i. Lagang – ialah tulang sesuatu ciptaan anyaman
ii. Pepeh / Lepih – anyaman mati pada tepi tikar di akhir proses anyaman
iii. Sisip – untuk mengelakkan anyaman terburai, alat penyisip buluh digunakan
iv. Kerat – pisau tajam digunakan untuk mengerat lebihan / baki anyaman

5. KELARAI
Kelarai ialah corak atau motif pada sesuatu anyaman. Biasanya kelarai yang terdapat apada anyaman adalah berasaskan flora, fauna, geometri, abstrak, nama tempat dan nama pereka.

6. FUNGSI TIKAR
i. Tikar biasa – alas tidur & untuk tetamu
ii. Tikar sembahyang – sebagai sejadah
iii. Tikar parudan – alas semasa memarut kelapa
iv. Tikar jemuran – untuk menjemur padi
v. Tikar alas nikah – diguna semasa upacara akad nukah

7. BENTUK TIKAR
Tikar terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu;
i. Badan
ii. Kepala tikar
iii. Bucu tikar
iv. Tepi tikar

Ahad, 5 Julai 2009

KRAF TRADISIONAL DAN DIMENSI BARU

A. TEMBIKAR

1. PENGENALAN
Seni tembikar wujud di Tanah Melayu sejak beribu tahun dahulu. Buktinya terdapat penemuan tembikar di Gua Cha, Kelantan; Ulu Tembeling, Pahang; Bukit Tambun, Perak; dan Gua Niah, Sarawak.

Kawasan yang terkenal dengan seni tembikar ialah:
a) Sayong, Kuala Kangsar, Perak ( Labu Sayong )
b) Pulau Tiga, Parit, Perak
c) Kg. Mambong, Kuala, Krai Kelantan ( Tembikar Mambong )
d) Kg. Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang ( Terenang )
e) Kg. Alor Merah, Kedah
f) Kuching, Sarawak

2. JENIS-JENIS TEMBIKAR
a- Geluk – bekas air
b- Buyung – bekas air
c- Jambangan – bekas bunga
d- Labu – bekas air
e- Bekas bara- membakar kemenyan
f- Perembunan – menakung air embun
g- Terenang – bekas air tertutup
h- Tembikar Mambong – peralatan dapur spt periuk, belanga
i- Tembikar Sarawak – menyimpan barang berharga, arak dan bunga

3. PROSES MEMBUAT TEMBIKAR
a) Proses Penyediaan Tanah Liat

Ambil tanah busut/sungai/sawah -> Keringkan/jemur -> Tumbuk hingga hancur -> Buang bendasing -> Ayak -> Kacau dan campur air -> Peram semalaman -> Uli hingga sebati -> Potong dengan dawai -> Uli semula -> Potong dengan dawai -> Proses membentuk tembikar boleh dimulakan.

b)Proses Membentuk Tembikar
Proses membentuk tembikar boleh dilakukan dengan beberapa teknik, iaitu;
i. Teknik picit – memicit tanah liat dari bahagian tengah
ii. Teknik lingkaran – tanah diuli dan dilingkar membentuk tembikar
iii. Teknik kepingan – kepingan tanah liat dicantumkan
iv. Teknik acuan – menekan tanah liat ke dalam acuan kayu atau logam
v. Teknik putaran – tanah liat di letak di atas roda pemutar

c)Proses Pembakaran
Teknik tradisional – pembakaran dedah
i. Pembakaran cara Sayong – tembikar diletakkan di atas para selama 6 jam dan dimasukka ke dalam api selama 6 – 8 jam dan dimasukkan ke dalam sekam padi 5 – 10 minit untuk menghitamkannya
ii. Pembakaran cara Pulau Tiga – tembikar dikeringkan di sisi unggun api, kemudian dimasukkan ke dalam bara api untuk mendapatkan kesan warna kuning kehitaman
Teknik Moden
i. Tanur kayu
ii. Tanur gas
iii. Tanur elektrik
iv. Tanur raku

Sabtu, 4 Julai 2009

SENI REKA LANDSKAP

PENDAHULUAN
Landskap merupakan hiasan reka letak di luar rumah samada secara semulajadi seperti tumbuhan, bukit, gunung, tasik dan buatan manusia seperti bangunan, pergola dan gazebo.

1. PERANAN TUMBUHAN LANDSKAP
a) Mengawal hakisan tanah
b) Memberi perlindungan dan teduhan
c) Merendahkan suhu persekitaran
d) Mengawal pencemaran udara dan bunyi
e) Menjadi pelindung bagi pemandangan kurang menarik
f) Sebagai penghalang dan mengarah pergerakan
g) Memelihara flora dan fauna

2. JENIS-JENIS LANDSKAP
a) Landskap lembut – terdiri daripada tumbuh-tumbuhan
b) Landskap keras / kejur – terdiri daripada bahan buatan manusia seperti pergola, gazebo, bangku simen, lampu taman, laluan pejalan kaki dan sebagainya

3. ELEMEN PENTING LANDSKAP
a) Tumbuhan – pemilihan dari segi saiz, bentuk, warna dan fungsi
b) Bentuk mika bumi / topografi – seperti bukit-bukau, tasik, sungai dan tanah rata
c) Ruang – dapat menimbulkan keselesaan
d) Air – bina sistem pengaliran dan pastikan air tidak bertakung. Air juga dapat memberi kesan sejuk dan bunyi air membawa ketenangan
e) Cahaya – pastikan cahaya mengcukupi dan pokok-pokok tidak menghalang cahaya. Penggunaan lampu taman dapat memberikan cahaya waktu malam
f) Angin – pastikan peredaran angin berlaku di sekitar kediaman

4. JENIS TUMBUHAN
a) Tumbuhan tutup bumi – tinggi antara 15cm hingga 30cm seperti kemunting cina, ros jepun dan pentas
b) Tumbuhan melilit – sesuai ditanam di pergola dan pagar sepert i pokok bunga kertas, bunga corong dan ara jalar
c) Pokok renek – tumbuhan kecil dan rendah ditanam secara berkelompok sebagai pagar hiasan pejalan kaki dan sebagai pembahagi ruang
d) Pokok palma – berbatang tegak dan lurus, daun mempunyai pelepah dan membiak melalui pembahagian rumpun seperti pinang raja, pokok serdang dan palma raya

5. HIASAN LANDSKAP
a) Perabot – bahan binaan daripada kayu, batu, konkrit, plastik seperti bangku, meja, dan arca
b) Kolam
c) Air terjun dan air pancut
d) Bekas bunga
e) Pergola
f) Gazebo
g) Laluan pejalan kaki
h) Lampu hiasan

6. PROSES REKA BENTUK LANDSKAP
Sebelum membuat reka bentuk landskap prinsip-prinsip rekaan seperti kesatuan, penegasan, kepelbagaian, dan keseimbangan perlu diberi perhatian.
a) Menentukan tema dan fungsi landskap
b) Mengkaji keadaan fizikal bentuk muka bumi/topografi
c) Membuat lakaran tapak landskap
d) Membuat pelan awal dan pelan induk mengikut skala yang sesuai
e) Membuat lukisan perspektif pelbagai sudut
f) Membuat model 3 dimensi bagi projek besar
g) Membuat kemasan dengan meletakkan tajuk, arah mata angin, dan skala

Selasa, 30 Jun 2009

REKA BENTUK INDUSTRI DAN HIASAN DALAMAN

REKA BENTUK INDUSTRI

1. PENGENALAN
a. Seni reka bentuk industri melibatkan proses reka bentuk barangan elektrik dan elektronik, perabot, kenderaan dan sebagainya.
b. Revolusi Perusahaan di Eropah yang muncul pada abad ke-17 telah menjadikan perkembangan pesat industri reka bentuk.

2. MEMBUAT KEPUTUSAN
a) Perkara-perkara yang perlu diambilkira semasa proses membuat keputusan ialah:
i. Keperluan – adakah produk baru ini dapat memenuhi keperluan pengguna
ii. Bentuk dan fungsi – setiap produk yang dicipta perlu mempunyai bentuk yang menarik tetapi reka bentuk tersebut hendaklah sesuai dengan fungsinya pula.
iii. Bahan – bahan yang diguna mestilah sesuai, tahan lasak, jimat kos, mudah didapati dan menarik. Antara bahan yang boleh digunakan ialah kayu, kaca, logam, plastik, tembikar dan bahan campuran.

3. PROSES REKA BENTUK
a) Mengenal pasti masalah yang dihadapi dan keperluan yang diperlukan untuk memudahkan sesuatu urusan.

b) Mengumpul maklumat mengenai barangan yang akan direka dari pelbagai sumber.

c) Membuat kajian dan penyelidikan dengan membuat lakaran barangan yang akan dicipta.

d) Memperkembangkan idea dengan melakar dalam bentuk lukisan 2D dan 3D beberapa model.

e) Mengadakan persembahan dan perbincangan dengan rakan dan orang lain untuk mendapat maklum balas/komen.

f) Menyempurnakan semula reka bentuk hasil dari perbincangan di atas untuk membuat prototaip.

g) Membuat prototaip iaitu reka bentuk sebenar ciptaan mengikut spesifikasi yang betul.

h) Membuat promosi terhadap produk baru yang dihasilkan kepada umum melalui media.


SENI REKA HIASAN DALAMAN

1. KATEGORI REKA BENTUK
Ruang
a ) Ruang Kediaman
- ruang tamu
- ruang makan
- ruang kerja / bilik bacaan
- bilik tidur
- ruang dapur
- bilik air
- anjung

b ) Ruang awam atau komersil
- ruang pejabat
- restoran
-bank
- bilik pameran

2. ASPEK ASAS REKAAN DALAMAN
a) Ruang – dapat dilihat dari aspek bentuk dan saiz, ruang perlu disesuaikan dengan penggunaannya untuk kelihatan lebih luas, ceria dan selesa.

b) Peredaran udara – amat penting untuk menjamin keselesaan dan kesihatan penghuninya. Penggunaan kipas dan penyaman udara dapat membantu peredaran udara.

c) Pengcahayaan – ia dapat menimbulkan suasana yang ceria, tenang dang romantik. Pengcahayaan dapat ditentukan oleh kedudukan dan saiz pintu atau tingkap, lampu, dan penggunaan cermin.

d) Warna – merupakan unsur penting dalam kehidupan. Warna boleh menimbulkan kesan harmoni dan ceria. Warna sejuk menimbulkan ketenangan serta luas manakala warna panas keceriaan. Warna gelap akan menjadikan ruang kelihatan sempit.

e) Perabot – susun atur dan saiz perabot dapat mempengaruhi keluasan sesuatu ruang. Pemilihan perabot penting dalam menentikan tema sesuatu ruang seperti gaya Inggeris, Tropika, Kontemporary dan sebagainya.

3. PRINSIP REKA BENTUK
Prinsip asas reka bentuk hiasan dalaman adalah keseimbangan, harmoni, penegasan, kesatuan dan keseragaman.

Ahad, 24 Mei 2009

MULTIMEDIA

1. ELEMEN MULTIMEDIA
a. Multimedia bermaksud banyak media, antaranya ialah:
i. Teks – tulisan
ii. Grafik – gambar / ilustrasi
iii. Audio – bunyi
iv. Video – gambar sebenar yang bergerak
v. Animasi – gambar bukan sebenar yang bergerak
b. Penggunaan multimedia amat penting bagi menarik minat dan menyampaikan menyampaikan maksud dengan lebih berkesan.

2. GRAFIK DAN PERISIAN GRAFIK
a. Perisian grafik terdiri daripada:
a. Program Persembahan
i. Microsoft PowerPoint

b. Program Lukisan / Catan
i. Adobe Illustrator, Corel Draw, Free Hand, Meta Creations Painter

c. Program Carta / Graf
i. Microsoft Excel

d. Program Edit Foto ( biasanya ada perkataan ‘photo’ ) ‘super imposed’
i. - Adobe Photoshop, Adobe Photo Deluxe, Corel Photo Paint, Microsoft PhotoDraw

e. Program ‘Dekstop Publishing’ Penerbitan atas meja
i. Broderbund, Print Shop Premier, Page Maker, Quark Express, Microsoft Publisher

f. Program Laman Web
i. Micrisoft FrontPage, Adobe PageMill, Macromedia Dreamweaver

g. Program Multimedia
i. Authorware, Macromedia Director, Asymetrix ToolBook

h. Program 3D dan Animasi
i. Auto CAD, Xres, 3D studio Max, Macromedia Director

3. LAMAN WEB
a. Laman web ialah dokumen elektronik yang mendandunggi teks, grafik, audio, video dan animasi yang mempunyai hubungan (link) dengan laman web yang lain.
b. Tapak web dipanggil ’home page’ , muka surat pertama web dinamakan dengan ’index’ dan nama panggilan web dipanggil ’domain name’.
c. Ciri-ciri laman web yang menarik ialah ia mudah dibaca, mesra pengguna, tidak terlalu banyak gambar, animasi dan bunyi.
d. Pengarangan laman web hendaklah sesuai dengan fungsinya.
e. Penggumaan grafik yang banyak akan menyebabkan laman web akan susah untuk dilayari.
f. Antara Program yang biasa diguna untuk pengarangan Laman Web ialah:
Micrisoft FrontPage, Adobe PageMill, Macromedia Dreamweaver

Selasa, 28 April 2009

KOMUNIKASI VISUAL (Reka Bentuk Grafik)

7. KALIGRAFI
a. Berasal daripada perkataan Greek ’kallos grapha’ yang bermaksud tulisan cantik
b. Seni tulisan yang berkerawang dan berbunga, sama ada tulisan rumi / khat / jawi
c. Semua dokumen bertulis dipanggil manuskrip yang bermksud tulisan tangan
d. Jenis-jenis kaligrafi seperti tulisan Italik, Roman dan Gothik.
e. Biasanya di tulis menggunakan pen manuskrip, bulu burung dan berus

8. TIPOGRAFI
a. Seni menyusun atur huruf dan muka taip
b. Reka bentuk muka taip mesti sesuai dengan dengan tajuk, saiz, dan reka letak
c. Kategori muka taip
i. Muka taip peraga – untuk peragaan / paparan seperti iklan & bilbod
ii. Muka taip teks – huruf yang kecil untuk bacaan umum seperti akhbar dan majalah
d. Jenis muka taip
i. Serif – mempunyai serif / corak pada bahagian atas dan bawah seperti ABCDEFG (Times New Roman)
ii. Sans serif - tidak mempunyai serif seperti ABCDEFG (Arial Black)
iii. Kursif – berbentuk tulisan tangan seperti ABCDEFG (Monotype Corsiva)
iv. Dekoratif – bergaya & mempunyai hiasan seperti ABCDEFG (Jokerman)

9. ILUSTRASI
a. Ilustrasi ialah gambar lukisan / catan untuk menyampaikan mesej dengan lebih lebih jelas dan singkat
b. Biasanya hadir bersama artikel / akhbar & majalah
c. Jenis-jenis ilistrasi
i. Ilistrasi alam – contoh proses percambahan biji benih
ii. Ilistrasi fesyen – fesyen pakaian
iii. Ilustrasi perubatan – organ manusia
iv. Ilustrasi seni bina – pelan bangunan
v. Ilustrasi maklumat – carta / graf
vi. Ilustrasi penerbitan – buku, kad ucapan, majalah dan sebagainya
d. Ciri-ciri ilustrasi yang baik
i. Sesuai dengan tajuk
ii. Seimbang
iii. Dapat menarik perhatian
iv. Mudah dibaca

10. POSTER
a. Komunikasi perhubungan atau pengiklanan
b. Melibatkan tipografi, kaligrafi dan ilustrasi
c. Berfungsi untuk memberi maklumat, peringatan, berkomunikasi dan promosi
d. Ciri-ciri poster yang baik
i. Menarik perhatian
ii. Dapat menyampaikan mesej dengan berkesan
iii. Muka taip dan ilustrasi yang jelas

11. GRAFIK PERSEKITARAN / PENGIKLANAN
a. Jenis-jenis pengiklanan
i. Papan iklan / Bilbod ( amat popular pada masa kini )
ii. Iklan persimpangan ( terletak di persimpangan dan laluan strategik )
iii. Iklan Transit ( iklan yang dilekat pada kenderaan seperti teksi / bas )
iv. Tanda jalan
b. Aspek penting dalam grafik persekitaran
i. Keterbacaan – mudah dibaca, muka taip yang jelas
ii. Ilustrasi / gambar yang jelas dan sesuai
iii. Saiz iklan mengikut tempat / lokasi
iv. Keaslian dan kreativiti
v. Reka letak yang teratur

Isnin, 20 April 2009

KOMUNIKASI VISUAL

A. REKA BENTUK GRAFIK

1. SENI GRAFIK
a. Grafik bermaksud gambaran bukan fotografi yang berbentuk 2 dimensi
b. Grafik meliputi lukisan, catan, carta, graf, poster dan kartun
c. Grafik diguna untuk menyampaikan mesej dengan lebih jelas dan ringkas
d. Gambar foto yang diubahsuai, dimasukkan gambar lain, muka taip, logo dan lain-lain adalah sebagai grafik
e. Contoh grafik boleh dilihat pada bilbod, kain rentang, papan tanda, akhbar, majalah, pembungkusan, digital dan sebagainya.

2. RISALAH
a. Risalah berfungsi sebagai promosi, penerangan, pengiklanan dan memberi maklumat
b. Terdapat pelbagai bentuk risalah seperti sehelai kertas berlipat dia atau tiga, beberapa lipatan dan seperti buku
c. Unsur reka letak sesebuah risalah mengutamakan ilistrasi, kaligrafi, tipografi, simbol dan logo
d. Antara corak yang popular ialah Mondrian, Tingkap Gambar, Bingkai, Multipanel, dan Sarkis

3. PEMBUNGKUSAN
a. Pembungkusan ialah bekas untuk melindungi barangan semasa dihantar, disimpan dan dipamer
b. Jenis pembungkusan ialah pembungkusan kertas, plastik, botol, tin, kotak kayu dll
c. Fungsi pembungkusan ialah untuk:
i. Melindungi barangan
ii. Memudahkan kerja menyimpan dan penghantaran
iii. Menyampaikan meklumat dan mempromosi
d. Ciri-ciri pembungkusan yang baik mengandunggi
i. Jenama
ii. Keterangan
iii. Gambar / ilustrasi
iv. Logo, nama dan syarikat

4. LOGO
a. Merupakan tanda sesuatu syarikat, pertubuhan, institusi, kempen, perkhidmatan dan sebagainya
b. Setiap benda, perkara, warna, dan lambang yang ada pada logo mempunyai maksud tertentu seperti keris lambang keberanian & padi lambang muafakat
c. Sumber logo biasanya daripada sumber huruf, angka, geometri, flora, fauna, campuran dan sebagainya


5. SIMBOL
a. Merupakan tanda sesuatu benda atau perkara
b. Merupakan tanda yang dapat dikenal di peringkat antarabangsa
c. Menggunakan rupa mudah ( rupa positif / rupa negatif )
d. Rupa yang biasa diguna seperti rupa geometri, huruf, dan alam semulajadi
e. Biasanya kurang menggunakan teks / tulisan
f. Mudah difahami seperti tanda tandas, surau, hospital dan sebagainya.

6. MASKOT
a. Sebagai lambang sesuatu acara rasmi syarikat atau sukan
b. Dapat menarik minat terutama kanak-kanak
c. Kostum yang dipakai oleh manusia – memerlukan fabrik yang tidak panas
d. Menampilkan identiti tempatan dan asli
e. Sumber maskot diambil daripada haiwan liar atau haiwan peliharaan seperti tupai, panda, lebah dan sebagainya.

Isnin, 13 April 2009

SENI HALUS

A. LUKISAN

1. Pengenalan
- Lukisan ialah seni yang menggambarkan objek atau pelan dengan garisan
- Lukisan ialah hasil seni 2 dimensi dengan menggunakan media kering seperti pensil, krayon, pen, pestel,arang, pen merker, pensel warna, pastel dan sebagainya
- Penggunaan dakwat termasuk dalam kategori lukisan kerana dakwat tidak perlu dilarutkan

2. Teknik-teknik lukisan
- Teknik garisan yang biasa diguna dalam lukisan ialah teknik garisan silang, garisan berombak, garisan selari, garisan menyilang dan garisan kontur
- Teknik lain seperti teknik coreng, teknik gosok, teknik titik, teknik lorek dan teknik campuran

3. Proses melukis
- Pilih objek yang hendak dilukis
- Tentukan sudut pandangan, ton, perspektif, ton, dan cahaya
- Bahagikan ruang kepada ruang latar belakang, ruang tengah, objek dan ruang hadapan
- Buat lakaran kasar dengan melukis garisan luar objek tersebut
- Gunakan teknik di atas untuk menunjukkan kesan cahaya, bentuk dan ruang


B. CATAN

1. Pengenalan
- Catan merupakan hasil seni 2 dimensi yang menggunakan media basah
- Catan memerlukan bahan pelarut seperti air untuk warna air dan minyak untuk cat minyak (cat kilat)

2. Sejarah catan
- Sejarah awal catan bermula pada zaman Yunani Purba
- Zaman Renaissance abad ke-14 hingga 16 merupakan zaman kemuncak, pelukis yang terkenal ialah Leonardo Da Vinci dengan lukisannya ‘Mona Lisa’
- Zaman Baroque dan Rococo abad ke-17 hingga 18
- Zaman Romantik dan impression abad ke 19 mengutamakan gaya Impressionisme, Ekspressionisme dan Kiubisme
- zaman Seni Moden abad ke-20 mengutamakan gaya Surealisme

3. Aliran seni lukis / gaya catan
a- Realisme – lukisan / catan dibuat tepat dan menyerupai bentuk sebenar
b- Impresionisme – mengutamakan kesan suasana atmosfera dan tumpuan kepada pencahayaan
c- Ekspresionisme – menekankan pernyataan emosi, bentuk objek tidak jelas digambarkan
d- Ekspresionisme Abstrak – catan yang spontan, imej yang abstrak dan tiada sifat realistic
f- Kiubsisme – mementingkan bentuk-bentuk geometri yang dipecah-pecah serta menimbulkan ilusi 3 dimensi
g- Surealisme – menggambarkan imej bawah sedar atau khayalan
h- Seni Pop – menggunakan unsur-unsur tampak iklan atau bidang komersial
i- Seni Op (optic) – reka bentuk geometri, garisan dan warna tertentu untuk menghasilkan imej gerak pada penglihatan

4. Teknik Catan
a- Teknik impasto – menggunakan warna pekat terus daripada tiub warna kepada berus atau pisau palet ke atas kanvas
b- Teknik glazing – mewarna selapis demi selapis untuk menimbulkan kesan lembut, licin dan berkilau
c- Teknik titik (pointilisme) – menghasilkan titik-titik menggunakan berus untuk membentuk objek
d- Teknik Hard Edge – mempunyai rupa bentuk yang jelas dan perbatasan yang tepat, menggunakan ‘masking tape’ untuk memisahkan warna
e- Teknik Scumbling (melembut) – menggunakan lapisan nipis warna legap di atas warna latar untuk menimbulkan kesan lutsinar atau kesan kusam
f- Teknik kolaj – menampal bahan kutipan ke permukaan lukisan/catan untuk menghasilkan kesan tertentu
g- Teknik asemblaj – teknik mengabungkan bahan kutipan seperti kayu, logam, dan sebagainya untuk menghasilkan karya 3 dimensi dalam membuat kolaj timbulan atau arca


C. ARCA

1. Pengenalan
- Arca merupakan karya seni berbentuk 3 dimensi untuk dikaji dan dinikmati nilai estetikanya
- Arca merupakan karya seni yang boleh dilihat, disentuh dan dirasai

2. Jenis-jenis arca
a- Arca Berfungsi – arca yang mempunyai nilai keindahan dan diguna untuk tujuan tertentu seperti patung berhala untuk disembah
b- Arca Estetika – arca yang menjadi bahan tatapan sahaja untuk dinikmati nilai seninya

3. Bahan binaan arca
- Arca biasanya dibina menggunakan tanah liat, kayu, batu, logam dan campuran bahan-bahan tersebut

4. Teknik membina arca
a- Arca luakan – memerlukan pengurangan, pembuangan dan pemotongan bahagian tertentu sehingga bentuk yang dikehendaki terhasil
b- Arca binaan – satu bahan utama digunakan dan dibuat penambahan sehingga terbentuk hasil yang dikehendaki
c- Arca asemblaj – menggunakan bahan-bahan yang berlainan seperti kayu, logam, batu dsb untuk membentuk sesuatu yang menarik
d- Arca acuan – dibuat dengan menuang bahan seperti ‘plaster of paris’, lilin, simen, tanah liat dsb ke dalam acuan
e- Arca timbulan – bentuk 3 dimensi tersembul keluar dari permukaan 2 dimensi, alat yang biasa diguna seperti pahat, tukul, pengikir, dan pengikis
f- Arca bergerak/mobail/kinetik – arca ini boleh bergerak atau berputar, biasanya ia dibuat daripada besi dawai, kepingan logam, dan bahan yang ringan
g- Arca dinding – dihasilkan di atas kepingan kayu atau logam nipis dan dijadikan hiasan dinding, meja atau digantung pada siling
h- Arca gabungan – gabungan beberapa jenis arca di atas


D. CETAKAN

1. Pengenalan
- Cetakan boleh didefinisikan sebagai proses menekan huruf atau gambar di atas kertas, kain atau bahan lain
- Keistimewaan cetakan ialah ia boleh menghasilkan beberapa keeping salinanyang asli

2. Jenis-jenis cetakan
a- Cetakan timbul – proses membuat cetakan dengan membubuh dakwat pada permukaan tapak cetak yang terdiri daripada blok kayu, lino atau papan
b- Cetakan benam – dakwat dibubuh ke dalam turisan atau garisan, kertas perlu dilembapkan dahulu sebelum mencetak
c- Cetakan litografi – menggunakan blok batu kapur, teknik ini berdasarkan penolakan minyak dengan air dan hasilnya seakan-akan lukisan pensel
d- Cetakan gurisan asid – menggunakan kepingan logam dan asid untuk membentuk jaluran parit
e- Cetakan saring sutera/stensil – menggunakan pemidang kain sutera dengan menggunakan kaedah potongan kertas pendua, skrin profilem dan skrin foto

3. Kaedah cetakan stensil
a- Kaedah kertas pendua – imej digunting di atas kertas pendua
b- Kaedah profilem – filem laker diguna untuk membentuk corak/motif, seterika diguna untuk melekatkan filem laker pada pemidang
c- Kaedah skrin foto – menggunakan filem asetat dan foto emulsi, dihasilkan melalui proses dedahan cahaya lampu (250W – 500W) atau cahaya matahari

4. Kaedah cetakan silk screen. Sila lawati blog saya di http://www.copbaju.blogspot.com

Jumaat, 10 April 2009

PRINSIP REKAAN

Prinsip rekaan adalah kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual

1. Harmoni
- Dalam istilah bahasa harmoni membawa maksud aman dan damai
- Dalam istilah seni harmoni merupakan hasil ulangan dan rentak unsur seni yang sesuai dan seimbang
- Harmoni wujud dalam penggunaan garisan dan warna
- Harmoni tidak akan wujud jika ada unsur-unsur yang bercanggah

2. Kontra
- Kontra wujud jika ada unsur-unsur seni yang bertentangan atau bercanggah dalam sesuatu gubahan
- Fungsi kontra ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, mengelakkan kebosanan dan kesan pergerakan
- Kontra dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni, teknik dan bahan yang berlainan

3. Penegasan
- Penegasan wujud apabila terdapat sesuatu unsur yang menonjol, kontra atau ganjil dalam sesuatu gubahan
- Fungsi penegasan ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, dan mengelakkan kebosanan
- Penegasan dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni yang kontra atau asingkan objek yang hendak ditegaskan

4. Imbangan
- Imbangan bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan

- Terdapat 2 jenis imbangan iaitu:
a- Imbangan simetri – unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut)
b- Imbangan tidak simetri – unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai cirri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan

5. Irama dan Pergerakan
- Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dsb
- Fungsi irama dan pergerakan ialah untuk memberi kesan lebih hidup dan realistic terhadap sesuatu gubahan
- Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dsb

6. Kepelbagaian
- Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan
- Kepelbagaian dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan
- Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan

7. Kesatuan
- Kesatuan bermaksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan
- Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa

ASAS SENI REKA

A. UNSUR SENI

1. Garisan
- Garisan ialah satu deretan titik yang bersambung-sambung yang mempunyai jarak tertentu
- Garisan boleh diolah untuk mencipta rupa, jalinan, ton, corak, dan untuk menimbulkan bentuk, ruang, dan pergerakan.

2. Rupa
- Rupa adalah hasil pertemuan titik hujung dengan titik mula
- Rupa adalah kawasan rata yang dilingkari garisan luar

- Terdapat 2 jenis rupa iaitu:
a- Rupa geometri – bersudut seperti segi tiga, segi empat, pyramid, bulat dsb.
b- Rupa organic – rupa bebas yang tidak bersudut seperti rupa daun, buah, batu dsb.

-Rupa boleh diolah dalam bentuk:
a- Rupa positif – rupa objek yang terletak di sesuatu kawasan
b- Rupa negative – ruang di sekeliling rupa sesuatu objek.

3. Bentuk
- Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan lebih daripada satu permukaan

- Terdapat 2 jenis bentuk iaitu:
a- Bentuk konkrit – bentuk objek sebenar yang bersifat 3 dimensi iaitu boleh disentuh, dilihat, dan dirasai. (bukan berbentuk gambar)
b- Bentuk ilusi – bentuk visual yang bersifat 2 dimensi yang digambarkan melalui lukisan atau catan.

4. Jalinan
- Jalinan ialah kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu benda

- Terdapat 2 jenis jalinan iaitu:
a- Jalinan sentuh – jalinan yang dapat dirasai dengan sentuhan/tangan seperti kolaj, arca, dan catan teknik impasto
b- Jalinan tampak – jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai dengan tangan seperti corak batik, jalur buah tembikai dan gambar foto.

5. Ruang
- Ruang ialah kawasan kosong di sekeliling objek, jarak antara dua objek, atau rongga dalam sesuatu objek.

-Terdapat 2 jenis ruang iaitu:
a- Ruang nyata – ruang sebenar yang terdapat pada bentuk-bentuk konkrit
b- Ruang tampak – ruang yang hanya dapat dilihat dalam seni tampak seperti lukisan, catan dan cetakan (bukan sebenar)


6. Warna
- Terdapat 3 jenis warna iaitu:
a- Warna asas – iaitu merah, biru, dan kuning (tidak boleh dihasilkan dengan campuran warna lain)
b- Warna sekunder – iaitu campuran dua warna asas (Hijau ‘Biru + Kuning’, Jingga ‘Kuning + Merah’ dan Ungu ‘Merah + Biru’)
c- Warna tertier – iaitu campuran warna asas dengan warna sekunder

- Terdapat 3 gubahan warna iaitu:
a- Warna harmoni- warna bersebelahan dalam roda warna (warna sekeluarga, selesa dan seimbang)
b- Warna penggenap – warna yang bertentangan dalam roda warna (menimbulkan kesan segar, kaya, kontra, getaran dan pergerakan)
c- Warna sewarna – hanya satu warna yang mempunyai pelbagai ton (daripada terang kepada gelap)

- Terdapat 2 suhu warna iaitu:
a- Warna panas – warna antara warna merah ungu hingga kuning hijau pada roda warna (menimbulkan kesan bertenaga, garang, harapan, perang, meriah dsb)
b- Warna sejuk – warna antara hijau hingga ungu pada roda warna (menimbulkan kesan sejuk, sedih, damai dan tenang)

Khamis, 9 April 2009

PENGENALAN

Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera. Blog ini merupakan satu lagi blog Pendidikan Seni Visual yang baru muncul di persada internet Malaysia. Kehadiran blog ini diharap dapat membantu para pelajar dan guru dalam PSV. Di dalam blog ini nanti saya akan masukkan nota-nota dan gambar-gambar yang berkaitan dengan PSV. Saya juga berharap pembaca dapat memberi maklum balas seperti memberi idea, teguran dan kritikan untuk memantapkan lagi blog ini. Sesungguhnya apa yang baik itu datang dari Allah Subhanahuataala dan yang lemah itu adalah kelemahan saya sendiri. Sekian, terima kasih.